my entrance....welcome home...

swEeT HaLo..~~~

swEeT HaLo..~~~

this is what u see..!!

Monday, November 22, 2010

BIOGRAFI NICCOLO MACHIAVELLI.

Pengenalan.

Niccolo Machiavelli dilahirkan pada 3 Mei 1469 di Florence, Itali. Ayah beliau ialah seorang ahli sarjana dan beliau dibesarkan dalam keluarga yang ternama tetapi tidak begitu berada. Ketika Machiavelli berumur 29 tahun, beliau memperolehi kedudukan tinggi dalam kerajaan Florence. Beliau berkhidmat dalam kerajaan Florence selama 14 tahun sebagai setiausaha kerajaan dan terlibat dalam pelbagai misi diplomatik ke Perancis, German dan Itali.
Pada tahun 1512, kerajaan Florence telah digulingkan oleh golongan Medici dan kerajaan berbentuk republik telah bertukar menjadi sebuah kerajaan yang zalim. Machiavelli pula telah disingkirkan daripada jawatannya. Oleh kerana terdesak untuk kembali ke arena politik, beliau cuba untuk menarik perhatian daripada pemerintah Medici dengan menulis sebuah buku politik yang pada pandangannya merupakan matlamat Medici dan berharap ianya dapat diterima oleh mereka sebagai panduan dalam pemerintahan. Maka lahirlah karyanya yang berjudul The Prince. Karya tersebut dihasilkan adalah semata-mata untuk memuaskan dan memikat hati pemerintah. The Prince  dicipta dengan idea Machiavelli tentang keperluan pemerintahan yang zalim dengan ideologi yang keji dalam sesebuah negara.
Malangnya, usahanya ditolak oleh pemerintah Medici dan beliau tidak mendapat sebarang jawatan yang diinginkannya. Beberapa tahun kemudian, setelah pemerintahan Medici dijatuhkan dan kerajaan republik dihidupkan semula, Machiavelli sekali lagi cuba untuk menyertai kerajaan yang pernah disertainya sebelum itu. Tetapi oleh kerana tulisannya, The Prince, karya itu telah mempengaruhi orang ramai untuk tidak menerimanya kembali kerana mereka memikirkan falsafahnya menyerupai pemerintah Medici. Keadaan itu telah menyebabkan Machiavelli jatuh sakit lalu meninggal dunia pada tahun 1527 ketika beliau berumur 58 tahun.
Antara karya-karya yang pernah beliau hasilkan termasukla The Discourse upon the First Ten Books of Titus Livius, The Art of War, dan A History of Florence and La Mandragola. Namun antara karya yang dihasilkan, The Prince adalah sebuah karya
yang termasyhur dan mudah untuk dibaca dari semua tulisan ahli falsafah.

Falsafah Politik Machiavelli.

Falsafah politik Machiavelli adalah falsafah pengalaman peribadinya yang bersifat saintifik dan empirikal iaitu berdasarkan suasana kekacauan politik pada zaman Renaissance. Ketika beliau berkhidmat sebagai setiausaha kerajaan, beliau telah menemui ramai ahli politik yang terkemuka seperti putera Alexander VI dan Cesara Borgia. Kedua-dua ahli politik tersebut merupakan mereka yang telah memberi kesan mendalam kepada dirinya. Machiavelli begitu kagum dengan cara pemerintahan Borgia yang sangat bijak mengatur perancangan bagi memenuhi cita-cita walaupun bertindak dengan zalim sebagaimana yang digambarkan dalam karya beliau, The Prince.
Motif utama pemikiran dalam buku The Prince adalah beliau mengatakan bahawa untuk mengekalkan kuasa, para pemerintah harus mengabaikan pertimbangan moral sepenuhnya dan menaruh segala keyakinan terhadap kekuatan dan kepintaran untuk menipu. Dalam penulisan Machiavelli, beliau banyak menceritakan sejarah kerajaan terdahulu seperti kerajaan Yunani dan Rom yang memusatkan kuasa sebagai tonggak pemerintahan. Beliau juga mengatakan pemerintah perlu bijak mengaburi mata rakyat iaitu menyuap rakyat dengan hiburan, pertunjukan seni dan sukan bagi melalaikan mereka. Hal ini bertujuan agar rakyat jelata terus memberi sokongan padu kepada pemerintah. Jika ada sesiapa yang menentang, perlaksanaan undang-undang secara tegas walaupun dalam bentuk kezaliman perlu dikenakan sebagai hukuman tetapi pada masa yang sama hukuman tersebut perlulah kelihatan saksama dan adil.

Politik Tanpa Moral.
Machiavelli bersikap pesimis terhadap suasana politik semasa yang ketika itu penuh dengan korupsi dan berlaku penindasan yang mengongkong kehidupan rakyat jelata oleh pihak kerajaan yang dikuasai oleh golongan paderi. Senario ini dapat dilihat semasa Zaman Pencerahan ataupun Zaman Enligthment. Oleh sebab itu, timbul satu persoalan dari Machiavelli iaitu cara kuasa politik yang digunakan untuk menstabilkan keadaan. Beliau bersikap prejudis terhadap agama kerana telah menafikan peranan agama dalam aspek politik. Menurutnya, politik tidak sewajarnya dikaitkan dengan persoalan moral atau agama kerana perkara tersebut boleh mendedahkan seseorang kepada golongan musuh yang cerdik dan licik. Melalui fahaman sekularisme ini, beliau berpendapat bahawa nilai kemahiran dalam pentadbiran adalah lebih tinggi berbanding nilai moral. Berdasarkan pemerhatian Machiavelli terhadap pemerintah Borgia, beliau memuji-muji pemerintahan Borgia yang begitu mencintai kemahiran pemerintahan.
Menurut teori politik Machiavelli, kuasa politik boleh didapati dengan dua cara iaitu pertama, jika bernasib baik melalui warisan daripada keturunan atau yang kedua, melalui penaklukan. Bagi menguasai negara baru, pihak pemerintah hendaklah menghapuskan seluruh pencabarnya dari kerajaan terdahulu walau dengan apa-apa cara sekalipun. Kemudian, pemerintah harus bijak menggunakan propaganda untuk mendapatkan sokongan dari masyarakat. Melalui  aspek ini, Machiavelli menyatakan bahawa kecemerlangan sesebuah kerajaan hanya memerlukan seorang pemerintah yang mempunyai cara pemerintahan yang licik dan dapat menyelesaikan segala masalah.

Ciri Pemerintahan Yang Baik.

Machiavelli menggariskan beberapa ciri yang dianggapnya sebagai asas utama dalam mengekalkan kuasa walaupun persepsi dari sudut moralnya memang buruk sekali. Menurut beliau, keperibadian seseorang pemimpin adalah asas bagi kemantapan sesebuah kerajaan. Beliau menyatakan nilai–nilai buruk yang perlu dimiliki oleh seseorang pemimpin iaitu seperti bersifat kedekut, jahat dan tidak takut akan kutukan daripada rakyat jelata. Malahan menurutnya, seseorang pemimpin seharusnya mengutamakan sifat kedekut lebih dari sifat pemurah. Sifat pemurah hanya ditunjukkan ketika memerlukan sokongan dan pujian rakyat. Jika mahu menunjukkan sifat pemurah, pemimpin seharusnya menggunakan harta orang lain untuk diberikan kepada rakyat tetapi bagaimanapun, bukan dengan cara merampas harta mereka.
Dalam bab 17 buku The Prince, Machiavelli membincangkan sama ada seseorang pemimpin itu lebih baik ditakuti atau dicintai. Beliau menjelaskan bahawa lebih baik seseorang pemimpin itu ditakuti dari dicintai dengan bertindak kejam dalam menjalankan hukuman terhadap rakyat. Hukuman yang kejam akan memberi kesan yang lebih mendalam kerana tindakan tersebut dapat menakut-nakutkan rakyat jelata dan sekaligus mampu mengurangkan kadar jenayah yang dilakukan. Walaubagaimanapun, pemimpin perlu menghindari diri dari dibenci oleh rakyat dengan tidak merampas harta mereka. Beliau menambah, perasaan cinta itu boleh hilang mengikut kehendak bebas manusia tetapi apabila ditakuti dan diperkuatkan lagi dengan kengerian akan sesuatu hukuman, ianya selalu berkesan. Walaupun pemimpin itu tidak dicintai, sekurang-kurangnya dia tidak dibenci oleh rakyat.
Dalam bab 18 buku The Prince, Machiavelli mengilhamkan sebuah tajuk pemikiran beliau yang berjudul “Cara bagaimana seorang pemimpin memegang kesetiaan (janji)”. Di sini Machiavelli berkata seseorang pemimpin yang bijak tidak harus memegang kesetiaannya (janjinya) jika sesuatu yang dilakukan itu bertentangan dengan kepentingannya. Beliau memberi dua kaedah perjuangan politik. Pertama, melalui undang-undang tetapi ini selalunya menemui kegagalan. Kedua, melalui kekerasan dan penipuan ataupun yang diistilahkannya sebagai ‘cara binatang’. Pemimpin perlu memiliki sifat kedua-dua binatang yang dikategorikannya mengikut sifat dan perwatakan bintang tersebut iaitu singa dan kancil. Singa diklasifikasikan sebagai sifatnya yang ganas dan lambang dahaga akan kuasa dan kancil pula diklasifikasikan sebagai perwatakannya yang sangat licik dan bijak menipu.
Machiavelli menambah, seorang pemimpin juga patut menonjolkan sifat hipokrit dalam kehidupan sehariannya. Dia harus berpura-pura menonjolkan nilai-nilai murni yang baik dalam dirinya terutama bersifat pemurah, jujur, berperikemanusiaan, baik budi bahasa dan alim. Machiavelli berkata seorang pemimpin itu tidak perlu memiliki semua sifat baik tetapi ‘seakan-akan memiliki sifat baik’ kerana manusia akan hanya menilai berdasarkan sesuatu yang dilihat sahaja daripada perkara yang mereka rasa. Perubahan perwatakan dan ciri-ciri seseorang pemimpin mestilah mengikut keadaan. Perasaan kasih sayang dan moral dapat diabaikan jika keadaan mendesak.
Seterusnya, Machiavelli menyatakan seorang pemimpin harus mengelakkan diri daripada dibenci dan melakukan perkara yang mengaibkan di mata rakyat. Ini boleh dilakukan dengan tidak merampas harta rakyat, merampas isteri orang bawahan dan tidak menonjolkan sifat tamak dan berkeinginan untuk mendapatkan sesuatu. Di samping itu, seseorang pemimpin mestilah mempunyai sikap yang konsisten iaitu tidak berubah-ubah sikap dalam tindakannya, tidak bersikap melulu, lemah, pengecut dan tidak tegas. Seseorang pemimpin juga perlu pandai mengambil hati golongan pembesar negara dan membahagiakan rakyat bawahannya. Pemerintah perlu membimbing para pembesar tentang cara bergaul dengan rakyat dan memberi penghargaan kepada rakyat jika perlu.
Walaubagaimanapun, dalam mencapai dan mengukuhkan kuasa, seseorang pemimpin itu hendaklah mengukur antara manfaat tindakan yang baik dan tindakan yang buruk. Jika perlu memperolehi kuasa, maka tindakan buruk diutamakan. Demi kepentingan kuasa politik, bagi beliau pemerintah diharuskan menggunakan sebarang cara untuk merealisasikan matlamatnya dengan doktrin, the end justifies the means. Pada pandangan Machiavelli dalam aspek politik, adalah sesuatu yang bodoh jika seseorang pemimpin itu menggunakan cara yang boleh membawa kegagalan kepadanya sehingga hilang kekuasaan.


Penutup

Tiada sesiapa yang lebih memahami tentang pentingnya kuasa dalam politik melainkan Niccolo Machiavelli. Beliau dinobatkan sebagai ahli falsafah politik moden dengan teori politik yang dipaparkan dalam bukunya The Prince. Bagi Machiavelli, sesuatu yang diusulkannya bukanlah menggambarkan rakyat tersebut perlu bertingkah laku atau sesiapa yang mesti berkuasa tetapi mengenai kebolehan seseorang itu dalam memperolehi kekuasaan. Golongan penentang teori ini pula, menganggap Machiavelli sebagai simbol pendiskriminasian dan kekejaman. Teori kepemimpinan Machiavelli dikatakan lebih cenderung menghalalkan segala cara untuk mempertahankan sesuatu kekuasaan. Karya Machiavelli, The Prince, dianggap sebagai ‘buku petunjuk untuk para
pemimpin’. Tidak dapat diragukan lagi, ramai pemimpin di dunia pernah membaca bukuThe Prince. Malah Benito Mussolini, Hitler dan Stalin juga ada membacanya. Bahkan dikatakan kononnya, Napoleon sentiasa tidur di bantal yang terselit buku The Prince.


 BIOGRAFI IMMANUEL KANT            
Pengenalan
Immanuel Kant dilahirkan di Koenigsberg, Prussia (sekarang dikenali sebagai Kaliningrad di Rusia) pada tahun 1724. Beliau mempelajari hampir semua mata pelajaran iaitu termasuklah ilmu hakiki, ilmu alam, hukum, teologi, falsafah dan bidang lain. Falsafah yang dipelajari Kant sebagai mahasiswa adalah falsafah Leibniz dan Wolff yang sangat bersifat rasional, dogmatis, dan spekulatif. Tetapi Kant menolak idea pemikiran ini. Beliau memperkenalkan “falsafah kritis”, iaitu idea yang tidak mahu melebihi batas-batas kemungkinan pemikiran manusiawi. Menurut Kant, metafizik merupakan suatu ilmu iaitu “ilmu tentang batas-batas pemikiran manusiawi”. Malah  dalam ilmu metafizik Kant, beliau mengatakan bahawa falsafah zaman moden semakin meningkat. Rasionalisme dan empirisme telah dipersatukan dan diatasi dalam suatu sintesis. Sintesis tersebut merupakan titik pangkal suatu zaman baru ini disebut sebagai “idealisme”. Hidup Kant sangat teratur dan hampir setiap hari beliau melakukan kegiatan yang sama. Kant tidak pernah keluar dari kota Koenigsberg. Walaupun Kant sangat lemah dan kecil orangnya, namun semangatnya sangat besar. Beliau telah meninggal dunia pada tahun 1804.
 
Zaman Sebelum Immanuel Kant    
Pemikiran falsafah pada masa zaman sebelum Kant merupakan perubahan haluan falsafah umum dari objektivisme ke arah subjektivisme relatif oleh Descartes. Hal ini menandakan bermulanya zaman baru di dalam sejarah pemikiran murni. Gerakan falsafah sebelum zaman Kant berkisar antara dua aliran besar iaitu Rasionalisme yang dipelopori oleh Leibniz dan Alexander Baumgarten serta aliran Sensualisme yang dipelopori oleh Edmund Burke. Zaman Kritik mulai mewarnai perkembangan pemikiran estetika Barat ketika zaman dogmatik berlalu. Bermula dari Renaissance yang melahirkan pemikiran moden estetika yang bercorak subjektivisme dengan dua alirannya yakni empirisisme dan rasionalisme. Kedua-dua aliran ini disintesiskan oleh Immanuel Kant pada abad XVIII menjadi aliran Kritisisme.      
Kant mengambil jalan pencerahan kedua atau Aufklarung di Jerman. Perkembangan pemikiran di Eropah ini mengarah ke arah berkerajaan sendiri, autonomi dan kebebasan. Pada masa ini kerelevanan objektif beralih ke skeptisisme yang bersifat ekstrim kepada Montaigne, Descartes, Pascal, dan Voltaire . Leibniz (1646-1716) merupakan salah seorang tokoh pemikir yang telah berjasa dalam sejarah teori Estetika kerana beliau telah menghidupkan kembali beberapa konsepsi lama seperti simbolisme, vitalisme, dan teologisme yang bertentangan dengan Descartes. Walaupun Leibniz sendiri telah memperdalam dan menyempurnakan sesuatu yang masih kelihatan agak dangkal dan kurang dalam falsafah Descartes. Menurut Leibniz, beliau berpendapat wujud lapisan yang bertingkat-tingkat, iaitu terdiri daripada makhluk hidup yang membentuk kesatuan yang seragam.        
Alam dikatakan adalah gambaran tentang pengamatan manusia, iaitu keindahan alam yang seragam pada hakikatnya adalah cerminan dari keseragaman yang terdapat di dalam diri manusia. Tokoh yang hidup selepas zaman Leibniz adalah Baumgarten (1714-1762). Beliau telah memperkenalkan kepada dunia nama “Aesthetika” (dipakai sebagai judul bukunya yang diterbitkan pada tahun 1750) untuk bidang penyelidikan khusus yang berkaitan dengan teori tentang keindahan. Idea beliau ini akhirnya dapat diterima sebagai nama dari setiap bidang falsafah yang membahaskan tentang keindahan alam secara keseluruhannya. Baumgarten telah mendapat gelaran “Bapak Ilmu Estetika” kerana jasanya ini (Anwar, 1980:18). Tulisan-tulisan lain yang menyusul setelah “Aesthetika” (1750) antara lain berjudul, “Analysis of Beauty” yang telah dihasilkan oleh Hogarth (1753), “Essay on the Sublime and Beautiful”  yang merupakan karya Edmund Burke (1756).

Era Kant (1724-1804)  
Kelahiran tokoh Immanuel Kant menandakan bermulanya zaman baru kerana dipercayai falsafahnya telah mencipta suatu gagasan baru yang memberi arah dan haluan kepada segala pemikiran ahli-ahli falsafah yang terdahulu. Beliau sendiri memang merasakan bahawa dia perlu meneruskan Zaman Pencerahan. Gagasan yang dihasilkannya telah mendapat pelbagai tentangan dalam kalangan ahli-ahli pemikir metafizik dan empirisme. Tentangan ini memaksa Kant untuk memikirkan unsur-unsur  di dalam pemikiran manusia yang berasal dari pengalaman dan unsur-unsur yang telah terdapat di dalam akal manusia (Hadiwiyono, 1980 :63).
Falsafah Kant disebut sebagai kritisisme, iaitu ‘kritik’ secara harfiahnya bererti “pemisahan”. Falsafah Kant bermaksud membeza-bezakan antara pengenalan yang murni dan yang tidak murni yakni yang tiada kepastiannya. Falsafahnya dimaksudkan sebagai penyedaran ke atas kemampuan-kemampuan rasional secara objektif dan menentukan batas-batas kemampuannya. Kant berpendapat, untuk memberi tempat kepada iman dan kepercayaan beliau yakin bahawa pemikiran telah mencapai motifnya yang pasti di dalam ilmu pengetahuan pasti iaitu alam, seperti yang telah disusun oleh Newton. Ilmu pengetahuan pasti seperti alam itu telah memberikan pengajaran bahawa seseorang perlu meneliti pengenalan atau tindakan mengenal diri sendiri terlebih dahulu secara kritis. Melalui falsafahnya, Kant bermaksud untuk memperkembangkan unsur objektivitisme dunia dan ilmu pengetahuan.    
Bagi memastikan maksud itu terlaksana, seseorang itu haruslah menghindarkan diri daripada berpihak sama ada rasionalisme dan empirisme. Unsur rasionalisme berpandangan telah menemukan kunci bagi pendedahan realiti pada diri subjeknya, selepas melalui segala pengalaman, sedangkan unsur empirisme mengambil kira hanya dapat memperoleh pengenalan dari pengalaman sahaja. Hal ini jelas menunjukkan bahawa walaupun empirisme dimulai dengan ajaran yang murni tentang pengalaman, tetapi melalui idealisme subjektif bersandarkan pada suatu skeptisisme yang bersifat radikal.   
Kant juga bercadang untuk membuat penelitian yang kritis terhadap unsur rasional yang bersifat murni. Immanuel Kant cuba mewujudkan pemikirannya tersebut ke dalam beberapa buah buku yang sangat penting yang banyak menceritakan tentang kritikan. Buku-buku yang berjaya dihasilkannya termasuklah;
1.“Kritik der reinen Vernunft” (Kritik atas Rasional Murni) 1781
2.“Kritik der Praktischen Vernunft” (Kritik atas Rasional Praktis) 1788
3.“Kritik der Urteilskraft” (Kritik atas Daya Penilaian) 1790
Dari ketiga-tiga buah buku kritikan tersebut, buku terakhir merupakan sebuah buku yang bersangkut paut dengan penilaian estetis iaitu buku yang berjudul “Kritik der Urtheilskraft” (Kritik atas Daya Penilaian) iaitu buku yang terdiri dari sebuah pendahuluan.        
Kant mengemukakan lapan pokok persoalan dalam buku tersebut iaitu di antaranya adalah tentang cara beliau berusaha untuk menggabungkan dua karya kritikan sebelumnya di dalam satu kesatuan yang menyeluruh. Bahagian pertama dari karya itu berjudul “Kritik atas daya penilaian estetis” dan terbahagi kepada dua bahagian yang berkaitan dengan penilaian estetis iaitu analisis daya penilaian estetis dan analisis daya penilaian estetis. Analisis keputusan estetis dibahagi lagi menjadi dua bahagian iaitu analisis tentang ‘cantik’ (beautiful) dan analisis tentang ‘agung’ (sublime). Bahagian pertama dipaparkan dalam empat pertimbangan iaitu, penilaian terhadap selera perasaan dari segi kualiti, keputusan selera perasaan dari segi kuantiti, keputusan selera perasaan dari segi hubungan, keputusan selera perasaan menurut arahnya (menurut kesenangan yang timbul dari objek tertentu).     
Perasaan estetis menurut Kant berada pada keselarasan pemikiran dengan imaginasi berdasarkan dasar bebasnya adalah imaginasi. Semangat (geist) kreatif yang menghasilkan objek-objek seni tersembunyi pula di dalam gabungan pemikiran dan imaginasi. Kant (menurut Bousanquet) telah berhasil mengubah sendi-sendi falsafah seni dengan “berani dan tenang” dan tidak ada seseorang pun yang dapat mencapai ketelitian dalam membezakan istilah-istilah estetis. Kant merupakan tokoh yang telah mengaplikasikan unsur logik di dalam estetika dan menganalisis seni dengan cara yang sangat ilmiah. Kant memiliki banyak pengikut dan hampir semuanya telah bersepakat bahawa buku kritikannya yang ketiga itu merupakan karya terbaik dari ketiga-tiga karya kritikannya. Pengikut-pengikut Kant yang menonjol ialah seperti Schiller, Schelling, Hegel dan Schoupenhauer. 

Kesimpulan
Kant telah merumuskan, bahawa etika moral atau hukum moral secara lumrah dan formal “ada” di tengah-tengah kehidupan manusia. Kewujudannya bahkan lebih awal dari kewujudan manusia atau pengalamannya. Beliau juga telah menghubungkaitkan antara kewujudan manusia dan alam ini. Malah beliau berpendapat bahawa ia tetap akan muncul dan terpelihara oleh setiap individu yang memilki kesedaran yang tinggi mengenai kewajiban yang seharusnya dilakukan. Segala jenis tindakan perlu selalu didasarkan pada niat yang baik, tidak selalu mempertimbangkan hasil atau kesan yang perlakuannya. Kebaikan adalah tetap kebaikan, iaitu tidak terpengaruh oleh apa-apa dan sesiapapun. Tetapi walaupun kebaikan tidak dipengaruhi oleh apa-apa unsur, pada dasarnya hukum morality menurut pandangan Kant, perlu kembali kepada manusia itu sendiri. Kant juga ingin menempatkan manusia pada kedudukan yang paling tinggi iaitu yang boleh mencipta, mengembangkan dan memelihara hukum moral bagi dirinya sendiri.

1 comment:

  1. slm, bro, lari topik,
    rasenyer lgu ni bkn lg halo, tapi hello
    btw, nice blog...

    ReplyDelete